Thursday, 26 September 2013

Isteri Mat Yo - Dengan Rasa Rendah Diri, Saya Minta Maaf kepada Seluruh Rakyat Malaysia


Isteri Mat Yo - Dengan Rasa Rendah Diri, Saya Minta Maaf kepada Seluruh Rakyat Malaysia - Siti Aisya memohon maaf penyebaran rakaman video pergaduhan dengan pengawal keselamatan tersebar luas sejak Selasa lalu.
Siti Aisya nafi sebar video, mohon orang ramai henti cemuh suami
Kuala Lumpur: “Dengan rasa rendah diri, saya minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas tindakan saya sehingga menimbulkan kemarahan semua pihak.
“Saya percaya, kebenaran kes ini akan terbongkar. Tolong jangan hukum saya tanpa mengetahui apa yang berlaku,” kata Siti Aisya Adam, 24, isteri kepada pemain bola sepak negara, Norshahrul Idlan Talaha, ketika mengulas mengenai video dia bergaduh dengan pengawal keselamatan kini tersebar luas.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, dia tidak tahu apa motif sebenar individu yang menyiarkan video berkenaan, sedangkan kejadian perselisihan faham berlaku pada 12 September lalu, namun video berkenaan baru tersebar sejak Selasa lalu.
“Saya tidak mengetahui mengenai penyebaran video ini sehingga dimaklumkan keluarga yang turut terkejut melihat insiden berkenaan. Apa motif individu itu menyiarkan video berkenaan. Adakah disebabkan suami saya pemain bola sepak negara?
Dua individu miliki video
“Ramai menyangka saya yang menyebarkan video berkenaan, namun di sini saya tegaskan, penyebaran video itu tiada kaitan langsung dengan saya. Apa yang saya boleh cakap, hanya dua orang yang memiliki video berkenaan, namun saya enggan dedahkan sebaliknya menyerahkan kepada pihak polis,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.
Siti Aisya yang tertekan susulan kejadian itu berkata, selepas tersebarnya video berkenaan, ramai yang marah dan mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya, namun mereka tidak mengetahui apa sebenarnya berlaku.
“Malah, masyarakat menuduh tindakan saya memalukan suami. Saya bukan seorang biadap, kejadian ini berlaku apabila individu lain mencabar saya sehingga menimbulkan kemarahan.
“Jujur saya katakan, saya hormat orang tua kerana kehilangan bapa sejak berusia 12 tahun. Tatkala masyarakat mencemuh saya selepas melihat video berkenaan, saya tidak mampu mempertahankan diri sebaliknya hanya mampu berdoa supaya kebenaran sebenar akan timbul,” katanya sambil menangis.
Insiden kekecohan membabitkan isteri kepada pemain bola sepak negara dengan pengawal keselamatan di Subang Skypark, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) mula tersebar secara meluas sejak Selasa lalu.
Rakaman selama 54 saat itu turut menampakkan wajah Nor Shahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo, yang menyaksikan perang mulut antara isterinya dengan pengawal keselamatan terbabit, Azman Md Nayan, 49.
Tak terlintas saman
Siti Aisya turut meminta masyarakat tidak mencemuh suaminya disebabkan insiden membabitkan dirinya, sebaliknya Nor Shahrul tiada kena mengena dalam kes terbabit.
Ditanya sama ada beliau bertindak menyaman pengawal keselamatan itu, Siti Aisya menjelaskan tidak pernah terlintas untuk bertindak sejauh itu, sebaliknya peguam dilantik selepas video berkenaan mula tersebar – Bharian Online

Thursday, 19 September 2013

Malaysia kongsi kepakaran ICT

JAKARTA 19 Sept. - Malaysia bersedia berkongsi kepakaran dan prasarana pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada syarikat-syarikat asing, khususnya dari Indonesia yang berminat untuk membangunkan sektor itu.
Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia ke Indonesia, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Nadzri Shamsuddin berkata, kelebihan yang ada pada Malaysia ialah memiliki kepakaran dan prasarana yang menepati keperluan sektor ICT bertaraf dunia.
Katanya, pembangunan ICT di Malaysia menawarkan peluang perniagaan yang cukup besar mencakupi sektor multimedia dan kandungan kreatif.
"Dalam ICT, sektor multimedia dan kandungan kreatif menawarkan peluang kerjasama yang luas dan boleh terus dikembangkan dengan mengadakan kerjasama dengan negara jiran. Apatah lagi di Jakarta, khususnya yang merupakan destinasi pasaran yang menarik.
"Jakarta ialah pusat hiburan dan industri kandungan Indonesia. Justeru, ini merupakan peluang untuk syarikat penerbitan dan produksi di Malaysia untuk mencari ruang kerjasama dalam sektor ICT dengan syarikat Indonesia," kata Nadzri kepada wartawan di sini hari ini.
Buat pertama kali, Matrade menerajui delegasi syarikat multimedia dan kandungan kreatif Malaysia ke Indonesia dalam misi pemasaran khusus untuk meningkatkan peluang kerjasama antara kedua-dua negara.
Misi perdagangan yang bermula dari 17 hingga 20 September itu disertai oleh 28 syarikat multimedia dan kandungan kreatif tempatan.
Sebelum ini, beberapa syarikat Malaysia sudah meneroka pasaran Indonesia menerusi penerbitan siri animasi paling popular, Upin & Ipin serta yang terbaru siri Boboboi.
Upin & Ipin mencetus fenomena luar biasa dalam kalangan 250 juta rakyat Indonesia apabila disiarkan di stesen televisyen tempatan.
Bertitik tolak daripada kejayaan siri itu, Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) serta syarikat-syarikat Malaysia bekerjasama dengan Matrade untuk menjadikan Indonesia sebagai pasaran utama.
Sementara itu, Naib Presiden Bahagian Kreatif Multimedia, MDeC, Kamil Othman berkata, penyertaan MDeC dalam misi perdagangan kali ini meyakinkan beliau bahawa Malaysia mampu menjadi hab kepada pembangunan sektor ICT.
Ini kerana, kata beliau, MDeC sendiri menerima pelawaan daripada beberapa syarikat yang berminat untuk menjalin kerjasama khususnya dalam penerbitan filem animasi selepas kejayaan siri Upin & Ipin di Indonesia. - UTUSAN

Ringgit naik tertinggi sejak 15 tahun

KUALA LUMPUR 19 Sept. - Ringgit naik mendadak berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir dagangan hari ini, dengan peningkatan paling besar sejak krisis kewangan serantau pada 1998, kata peniaga.
Unit tempatan itu disebut harga pada 3.1470/1500 bagi setiap dolar AS daripada 3.2325/2355 semalam.
Seorang peniaga berkata, kenaikan bagi hari ketiga berturut-turut itu selaras dengan keputusan Rizab Persekutuan AS yang tidak dijangkakan, iaitu mengekalkan program pembelian bonnya.
Pengerusi Rizab Persekutuan, Ben S. Bernanke berkata, kadar pembelian bon, yang dikekalkan sebanyak AS$85 bilion sebulan, akan bergantung kepada data-data ekonomi, dan bank pusat tidak menetapkan jadual untuk mengurangkan langkah-langkah yang mencetuskan permintaan bagi aset-aset pasaran sedang muncul.
Sementara itu, mata wang tempatan itu mengukuh berbanding mata wang utama yang lain.
Ringgit lebih tinggi berbanding dolar Singapura pada 2.5299/5332 daripada 2.5667/5701 dan lebih kukuh berbanding yen pada 3.1836/1879 daripada 3.2691/2735 semalam.
Mata wang tempatan itu juga meningkat berbanding pound sterling kepada 5.0591/0652 daripada 5.1594/1652 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.2678/2725 daripada 4.3151/3197 sebelumnya. - BERNAMA

Indeks ekonomi negara meningkat

KUALA LUMPUR 19 Sept. - Pencapaian Malaysia dalam Indeks Dunia Kebebasan Ekonomi semakin baik apabila disenaraikan di tempat ke-68 daripada 151 buah negara berbanding tempat ke-71 pada tahun lalu.
Keputusan itu diperoleh semalam menerusi Laporan Tahunan 2013: Kebebasan Ekonomi Dunia yang dikeluarkan oleh Institut Demokrasi dan Hubungan Ekonomi (IDEAs).
Laporan itu dengan kerjasama IDEAs dan Canada's Fraser Institute serta 86 kumpulan pemikir dunia.
Indeks Dunia Kebebasan Ekonomi merupakan ukuran perdana dunia dalam kebebasan ekonomi yang menggunakan 42 kayu pengukur berbeza.
Ia merupakan indeks penarafan negara-negara di seluruh dunia berdasarkan dasar-dasar kerajaan yang diperkenalkan bagi menggalakkan persekitaran ekonomi yang lebih liberal.

Warga emas didakwa pandu secara cuai

KUALA LUMPUR 19 Sept. - Seorang lelaki warga emas didakwa di Mahkamah Majistret Ampang, dekat sini hari ini atas pertuduhan memandu secara cuai sehingga mengorbankan sepasang suami isteri dan dua sepupu mereka dalam satu kemalangan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Bukit Antarabangsa, Mei lalu.
Masrufi Sain, 66, yang bekerja sebagai buruh binaan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.
Tertuduh didakwa memandu kereta Proton Satria secara cuai dan tanpa pertimbangan yang munasabah menyebabkan kemalangan yang mengakibatkan pemandu kereta Perodua Viva dan tiga penumpangnya terbunuh di MRR2, Bukit Antarabangsa di sini kira-kira pukul 5.40 petang, 19 Mei lalu.
Mereka yang terkorban dalam kejadian itu ialah pemandu kenderaan tersebut, Hasbullah Abdul Ghani, 26; isterinya, Nurul Intan Syahida Nordin, 22, sepupu Hasbullah, Tengku Ahmad Faiz Tengku Mohmad, 28, dan Asma Ismail, 23.
Pendakwaan terhadap Masrufi dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 1999) yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua tahun hingga 10 tahun atau denda minimum RM5,000 dan maksimum RM20,000.
Timbalan Pendakwa Raya, S. Purnima yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.
Masrufi yang tidak diwakili peguam bela pula memohon agar jumlah tersebut dikurangkan kerana tidak mampu membayarnya.
Noor Farah Hazwani kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin selain lesen tertuduh digantung sehingga kes berkenaan selesai.
Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 28 Oktober ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan keempat-empat mangsa itu terbunuh dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan, dipercayai berpunca daripada kegagalan brek kereta Proton Satria berfungsi dalam kejadian itu.
Pemandu dan tiga penumpang kereta Perodua Viva itu maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala manakala sekurang-kurangnya tiga lagi penumpang kenderaan lain cedera.
Hasbullah dan isterinya, Nurul Intan Syahida yang duduk di bahagian penumpang depan putus kepala akibat terkena kabel penghadang jalan.
Kejadian dikatakan berlaku apabila Proton Satria yang menuruni jalan Bukit Antarabangsa hilang kawalan lalu merempuh pembahagi jalan dan terbabas ke laluan bertentangan, sebelum merempuh kereta Perodua Viva terbabit.

Mahkamah tetapkan 5 Disember bicara kes Alvin, Vivian

KUALA LUMPUR 19 Sept. - Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 5 dan 6 Disember depan perbicaraan kes pasangan kontroversi, Alvin Tan dan Vivian Lee yang menghadapi tiga tuduhan termasuk menerbitkan gambar menghasut umat Islam, Julai lalu.
Hakim Murtazadi Amran menetapkan tarikh itu semasa sebutan kes berkenaan di kamar beliau hari ini yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Haffiza Jemali dan dua peguam yang mewakili tertuduh, Chong Joo Tian serta Wong Kee Them.
Alvin atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 25, hadir ke mahkamah memakai sut berwarna hitam dan Vivian atau Lee May Ling, 24, berpakaian blaus berwarna kelabu dan seluar jeans biru.
Ketika ditemui di luar mahkamah, Joo Tian berkata, tarikh bicara itu ditetapkan sementara menunggu permohonan anak guamnya untuk membatalkan satu daripada tiga pertuduhan tersebut di Mahkamah Tinggi di sini yang akan didengar pada 31 Oktober depan.
Pasangan itu memfailkan permohonan pada 21 Ogos lalu untuk membatalkan pertuduhan mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang didakwa tidak konsisten dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta tidak sah di sisi undang-undang.
Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama menerbitkan satu penerbitan menghasut di laman sosial facebook "Alvin dan Vivian-Alvivi" di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers iaitu gambar dan komen bertajuk Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh...wangi, enak, menyelerakan!) mengandungi logo halal dan ayat-ayat yang mempunyai kecenderungan menghasut.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di 568-14-18, Kompleks Mutiara, Jalan Ipoh, Batu 3 1/2 di sini pada pukul 10.48 malam antara 11 Julai dan 12 Julai lalu.
Mereka didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
Pada masa dan tarikh yang sama, pasangan penulis blog itu turut didakwa memuat naik penerbitan yang sama yang dibaca di Syed Restoran, Jalan Dang Wangi, di sini.
Perbuatan itu didakwa berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan atas alasan agama dalam kalangan penganut agama berlainan.
Bagi pertuduhan itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun.
Selain itu, mereka didakwa mempamerkan gambar-gambar yang didapati lucah di laman web www.alviviswingers.tumblr.com antara pukul 9 malam, 6 Julai dan 2 pagi, 7 Julai lalu di tempat yang sama di Kompleks Mutiara.
Pendakwaan dibuat mengikut Subseksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 5(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

32 suspek diburu Interpol

KUALA LUMPUR 19 Sept. - Polis antarabangsa, Interpol mengesahkan jenayah komersial merupakan kesalahan paling tinggi dilakukan oleh rakyat Malaysia yang nama mereka disenarai dalam buruan organisasi keselamatan itu sekarang.
Setakat ini, terdapat 32 rakyat Malaysia disenaraikan nama mereka sebagai buruan Interpol dan 15 orang daripadanya dikehendaki kerana disyaki terlibat dalam pelbagai kesalahan berkaitan jenayah komersial.
Antara kesalahan tersebut adalah jenayah pecah amanah dan penipuan dokumen seperti memalsukan kematian dan kad kredit, penipuan dalam urusan pinjaman wang, kecurian maklumat serta penipuan dalam teknologi maklumat.
Sumber memberitahu, suspek yang dilaporkan melakukan kesalahan itu sejak beberapa tahun lalu bukan sahaja dikehendaki oleh pihak berkuasa di Malaysia tetapi beberapa negara lain termasuk Amerika Syarikat (AS), Vietnam, Brunei, Indonesia, Singapura, Kuwait dan India.
"Suspek sudah diburu sejak beberapa tahun lalu tetapi masih gagal dikesan kerana melarikan diri ke luar negara bagi mengelak ditangkap selepas dikesan melakukan kesalahan tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, selain jenayah komersial, terdapat masing-masing tiga rakyat Malaysia dikehendaki oleh Interpol kerana terlibat dalam jenayah rasuah, menaja perjudian, bunuh dan penyeludupan dadah.
Menurutnya, dua lagi suspek yang diburu disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan wanita dan kanak-kanak.
Katanya, baki dua lagi suspek masing-masing dikehendaki kerana terlibat dalam kes rompakan dan curi kenderaan serta berkonspirasi dan menyokong kumpulan pengganas antarabangsa.
"Daripada 32 nama disenaraikan oleh Interpol, 23 suspek adalah berketurunan Cina diikuti Melayu (enam), India (dua) dan lain-lain bangsa (satu).
"Kesemua mereka berusia 29 hingga 70 tahun dan terdiri daripada 28 lelaki dan empat wanita," katanya.
Daripada jumlah tersebut juga, sumber memberitahu, 12 orang dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia iaitu sama ada polis atau mahkamah, diikuti enam orang dicari oleh pihak berkuasa AS, Vietnam (empat), Brunei (empat), Indonesia (tiga), India (satu), Kuwait (satu) dan Singapura (satu).
Beliau berkata, antara diburu ialah tiga sahabat iaitu Goh Ming Huat, 33; Chan Chee Sing, 39; dan Lim Leong Seng, 56, yang dikehendaki oleh pihak berkuasa Vietnam kerana terlibat menaja perjudian di negara berkenaan.
Katanya, satu pasangan dari Kota Kinabalu, Sabah iaitu Nur Aqidah Matnin, 29, dan Saiffuzzaman Sabtuahim, 39, pula dikehendaki oleh pihak berkuasa Brunei berhubung kes penipuan hartanah.
"Antara rakyat Malaysia yang sudah lama diburu dan masih tersenarai dalam Interpol ialah suspek pengganas yang dikehendaki oleh AS yang sebelum ini didakwa sudah mati dalam serangan tentera Filipina di Jolo, Filipina pada Februari 2012 iaitu Zulkifli Abdul Hir @ Zulkifli Hir, 46," katanya.
Pada 2007, AS menawarkan wang sebanyak AS$5juta (RM15 juta) sebagai ganjaran penangkapan Zulkifli sekali gus menjadikannya antara orang yang paling dikehendaki oleh negara berkenaan.
Selain Zulkifli, sumber berkata, penjenayah lain paling dikehendaki dan masih gagal dikesan sehingga kini ialah seorang wanita, Rohaniza Aladib, 34, yang disyaki terlibat dalam kes penipuan berbentuk skim pelaburan dalam syarikat rokok antarabangsa membabitkan mangsa dalam kalangan artis terkenal tanah air seperti Amy Search, Hattan dan Misha Omar yang mencecah nilai RM400 juta pada 2008.
Katanya, suspek lain turut diburu ialah Michael Soosai, 50, yang dikehendaki oleh PDRM kerana memalsukan tentang kematiannya; Yeng Chee Heem, 39, dikehendaki oleh Kuwait kerana terlibat dalam pemalsuan dan menggunakan kad kredit palsu serta Tak Mei Ming, 59; Lee Che Hing, 67; dan Loo Soon Aik, 32, masing-masing diburu pihak berkuasa Malaysia berkaitan kes penipuan, rasuah dan bunuh.