KUALA LUMPUR 19 Sept. - Seorang lelaki warga emas didakwa di Mahkamah Majistret Ampang, dekat sini hari ini atas pertuduhan memandu secara cuai sehingga mengorbankan sepasang suami isteri dan dua sepupu mereka dalam satu kemalangan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Bukit Antarabangsa, Mei lalu.
Masrufi Sain, 66, yang bekerja sebagai buruh binaan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.
Tertuduh didakwa memandu kereta Proton Satria secara cuai dan tanpa pertimbangan yang munasabah menyebabkan kemalangan yang mengakibatkan pemandu kereta Perodua Viva dan tiga penumpangnya terbunuh di MRR2, Bukit Antarabangsa di sini kira-kira pukul 5.40 petang, 19 Mei lalu.
Mereka yang terkorban dalam kejadian itu ialah pemandu kenderaan tersebut, Hasbullah Abdul Ghani, 26; isterinya, Nurul Intan Syahida Nordin, 22, sepupu Hasbullah, Tengku Ahmad Faiz Tengku Mohmad, 28, dan Asma Ismail, 23.
Pendakwaan terhadap Masrufi dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 1999) yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua tahun hingga 10 tahun atau denda minimum RM5,000 dan maksimum RM20,000.
Timbalan Pendakwa Raya, S. Purnima yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.
Masrufi yang tidak diwakili peguam bela pula memohon agar jumlah tersebut dikurangkan kerana tidak mampu membayarnya.
Noor Farah Hazwani kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin selain lesen tertuduh digantung sehingga kes berkenaan selesai.
Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 28 Oktober ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan keempat-empat mangsa itu terbunuh dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan, dipercayai berpunca daripada kegagalan brek kereta Proton Satria berfungsi dalam kejadian itu.
Pemandu dan tiga penumpang kereta Perodua Viva itu maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala manakala sekurang-kurangnya tiga lagi penumpang kenderaan lain cedera.
Hasbullah dan isterinya, Nurul Intan Syahida yang duduk di bahagian penumpang depan putus kepala akibat terkena kabel penghadang jalan.
Kejadian dikatakan berlaku apabila Proton Satria yang menuruni jalan Bukit Antarabangsa hilang kawalan lalu merempuh pembahagi jalan dan terbabas ke laluan bertentangan, sebelum merempuh kereta Perodua Viva terbabit.
No comments:
Post a Comment