KUALA LUMPUR 19 Sept. - Polis antarabangsa, Interpol mengesahkan jenayah komersial merupakan kesalahan paling tinggi dilakukan oleh rakyat Malaysia yang nama mereka disenarai dalam buruan organisasi keselamatan itu sekarang.
Setakat ini, terdapat 32 rakyat Malaysia disenaraikan nama mereka sebagai buruan Interpol dan 15 orang daripadanya dikehendaki kerana disyaki terlibat dalam pelbagai kesalahan berkaitan jenayah komersial.
Antara kesalahan tersebut adalah jenayah pecah amanah dan penipuan dokumen seperti memalsukan kematian dan kad kredit, penipuan dalam urusan pinjaman wang, kecurian maklumat serta penipuan dalam teknologi maklumat.
Sumber memberitahu, suspek yang dilaporkan melakukan kesalahan itu sejak beberapa tahun lalu bukan sahaja dikehendaki oleh pihak berkuasa di Malaysia tetapi beberapa negara lain termasuk Amerika Syarikat (AS), Vietnam, Brunei, Indonesia, Singapura, Kuwait dan India.
"Suspek sudah diburu sejak beberapa tahun lalu tetapi masih gagal dikesan kerana melarikan diri ke luar negara bagi mengelak ditangkap selepas dikesan melakukan kesalahan tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, selain jenayah komersial, terdapat masing-masing tiga rakyat Malaysia dikehendaki oleh Interpol kerana terlibat dalam jenayah rasuah, menaja perjudian, bunuh dan penyeludupan dadah.
Menurutnya, dua lagi suspek yang diburu disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan wanita dan kanak-kanak.
Katanya, baki dua lagi suspek masing-masing dikehendaki kerana terlibat dalam kes rompakan dan curi kenderaan serta berkonspirasi dan menyokong kumpulan pengganas antarabangsa.
"Daripada 32 nama disenaraikan oleh Interpol, 23 suspek adalah berketurunan Cina diikuti Melayu (enam), India (dua) dan lain-lain bangsa (satu).
"Kesemua mereka berusia 29 hingga 70 tahun dan terdiri daripada 28 lelaki dan empat wanita," katanya.
Daripada jumlah tersebut juga, sumber memberitahu, 12 orang dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia iaitu sama ada polis atau mahkamah, diikuti enam orang dicari oleh pihak berkuasa AS, Vietnam (empat), Brunei (empat), Indonesia (tiga), India (satu), Kuwait (satu) dan Singapura (satu).
Beliau berkata, antara diburu ialah tiga sahabat iaitu Goh Ming Huat, 33; Chan Chee Sing, 39; dan Lim Leong Seng, 56, yang dikehendaki oleh pihak berkuasa Vietnam kerana terlibat menaja perjudian di negara berkenaan.
Katanya, satu pasangan dari Kota Kinabalu, Sabah iaitu Nur Aqidah Matnin, 29, dan Saiffuzzaman Sabtuahim, 39, pula dikehendaki oleh pihak berkuasa Brunei berhubung kes penipuan hartanah.
"Antara rakyat Malaysia yang sudah lama diburu dan masih tersenarai dalam Interpol ialah suspek pengganas yang dikehendaki oleh AS yang sebelum ini didakwa sudah mati dalam serangan tentera Filipina di Jolo, Filipina pada Februari 2012 iaitu Zulkifli Abdul Hir @ Zulkifli Hir, 46," katanya.
Pada 2007, AS menawarkan wang sebanyak AS$5juta (RM15 juta) sebagai ganjaran penangkapan Zulkifli sekali gus menjadikannya antara orang yang paling dikehendaki oleh negara berkenaan.
Selain Zulkifli, sumber berkata, penjenayah lain paling dikehendaki dan masih gagal dikesan sehingga kini ialah seorang wanita, Rohaniza Aladib, 34, yang disyaki terlibat dalam kes penipuan berbentuk skim pelaburan dalam syarikat rokok antarabangsa membabitkan mangsa dalam kalangan artis terkenal tanah air seperti Amy Search, Hattan dan Misha Omar yang mencecah nilai RM400 juta pada 2008.
Katanya, suspek lain turut diburu ialah Michael Soosai, 50, yang dikehendaki oleh PDRM kerana memalsukan tentang kematiannya; Yeng Chee Heem, 39, dikehendaki oleh Kuwait kerana terlibat dalam pemalsuan dan menggunakan kad kredit palsu serta Tak Mei Ming, 59; Lee Che Hing, 67; dan Loo Soon Aik, 32, masing-masing diburu pihak berkuasa Malaysia berkaitan kes penipuan, rasuah dan bunuh.
No comments:
Post a Comment