Thursday, 19 September 2013

Ringgit naik tertinggi sejak 15 tahun

KUALA LUMPUR 19 Sept. - Ringgit naik mendadak berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir dagangan hari ini, dengan peningkatan paling besar sejak krisis kewangan serantau pada 1998, kata peniaga.
Unit tempatan itu disebut harga pada 3.1470/1500 bagi setiap dolar AS daripada 3.2325/2355 semalam.
Seorang peniaga berkata, kenaikan bagi hari ketiga berturut-turut itu selaras dengan keputusan Rizab Persekutuan AS yang tidak dijangkakan, iaitu mengekalkan program pembelian bonnya.
Pengerusi Rizab Persekutuan, Ben S. Bernanke berkata, kadar pembelian bon, yang dikekalkan sebanyak AS$85 bilion sebulan, akan bergantung kepada data-data ekonomi, dan bank pusat tidak menetapkan jadual untuk mengurangkan langkah-langkah yang mencetuskan permintaan bagi aset-aset pasaran sedang muncul.
Sementara itu, mata wang tempatan itu mengukuh berbanding mata wang utama yang lain.
Ringgit lebih tinggi berbanding dolar Singapura pada 2.5299/5332 daripada 2.5667/5701 dan lebih kukuh berbanding yen pada 3.1836/1879 daripada 3.2691/2735 semalam.
Mata wang tempatan itu juga meningkat berbanding pound sterling kepada 5.0591/0652 daripada 5.1594/1652 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.2678/2725 daripada 4.3151/3197 sebelumnya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment